Tuesday, 13 November 2012

Akauntabiliti Guru



Akauntabiliti Guru

Guru merupakan orang yang kedua penting dalam kehidupan setiap murid. Apabila ibu bapa memasukkan anak mereka ke sekolah, maka ibu bapa menaruh harapan yang besar ke atas guru untuk mendidik anak-anak mereka supaya menjadi orang yang berilmu dan berguna kepada nusa dan bangsa. Harapan ibu bapa ini menjadi amanah dan tanggungjawab bagi guru-guru dan wajib dilaksanakan. Kita hendaklah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam bilik darjah iaitu dengan mematuhi jadual, menepati masa, serta menjalankan tugas dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Utamakan kebajikan , kemajuan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Kita juga mestilah bersikap adil terhadap setiap pelajar di samping membimbing mereka tanpa meminta sebarang bayaran atau ganjaran.


Cabaran dalam membina amalan 1 Malaysia

PENGENALAN

Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia, yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia (Muhyiddin, 2012).

Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Konsep 1Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.


Definisi Konsep 1Malaysia

Konsep 1Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa konsep 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing. “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia” memberi maksud bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga perlu melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, tidak wajar hanya berfikir dalam skop bangsanya sahaja. Mereka juga diminta tidak perlu hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum lain, mereka perlu melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama di Malaysia

Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1Malaysia memberi erti bahawa “Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah di laksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. Melalui konsep 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.


Perbezaan Antara Konsep 1Malaysia Dengan Konsep Malaysian Malaysia

Berpandukan definisi konsep 1Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

1. 1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Konsep Malaysian Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam konsep Malaysian Malaysian diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total .

2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
3. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
4. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
5. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.


Konsep 1Malaysia

Konsep 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.


Hubungan Konsep 1Malaysia Dengan Dasar-Dasar Kerajaan Terdahulu

Perkaitan antara konsep 1Malaysia dan dasar- dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dasar-dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


Matlamat

1Malaysia bermatlamat untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. 1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.

1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Selain itu, 1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Lantaran itu, Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan

Bagi melaksanakan gagasan 1Malaysia ini, semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malaysia merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang sewajarnya. 1Malaysia adalah pemangkin kepada pewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.


Prinsip Teras 1Malaysia

1Malaysia disandarkan kepada 3 teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:
1. Prinsip Penerimaan
Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

2. Prinsip Kenegaraan
Konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara telah diterapkan semenjak dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman melalui Parti Perikatan yang dipimpinnya dengan dibantu oleh Tun Tan Cheng Lok dan Tun V.T Sambanthan berjuang bagi mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Tun Abdul Razak pula mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tujuannya adalah untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Tun Hussien Onn yang sememangnya terkenal dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pula membawakan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gagasan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

3. Prinsip Keadilan Sosial
Setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Namun begitu Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan.



Nilai-Nilai 1Malaysia

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut adalah

1. Budaya Kecemerlangan
Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Budaya berprestasi tinggi memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Budaya ini perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan. Sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) amat penting dalam mengukur pencapaian perkhidmatan yang diberi di samping dedikasi, komitmen dan bekerja keras. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.


Ketabahan
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahannya dan hendaklah memperbaikinya secara positif. Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

Rendah Hati
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri. Sifat berhemah dan berbudi bahasa amat perlu menjadi amalan hidup kita. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

Penerimaan
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahu pun pelaksanaan . Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur paksaan. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik. Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan 1Malaysia. Pembangunan diri tanpa mengambil kira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

Kesetiaan
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara, prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan dan kecemerlangan. Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

Kesetiaan akan membina kepercayaan dan menjalin satu ikatan antara dua pihak. Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin. Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menjamin kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama. Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang di laksanakan dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

Meritokrasi
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.

Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan
memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Dalam pemilihan syarikat , kontraktor , pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi masing-masing dan memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Semua aliran, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina atau Sekolah Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1Malaysia. Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.

Integriti
Intergriti penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Bersikap jujur dan amanah terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

Menepati janji dan masa adalah sifat mulia yang dituntut semua agama. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi. Budaya berprestasi tinggi adalah asas utama integriti dalam semua aspek dan khidmat yang diberi.


KESIMPULAN

Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.

Melalui konsep ‘ 1Malaysia’ tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti , kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.



Sumber:
Muhyiddin Yassin. 2012. Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin: Isu, Kontroversi serta harapan. Sebuah Wawancara. Kuala Lumpur: ITNM
http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/1Malaysia_B.pdf
http://1malaysia.com.my/news/hayati-konsep-1malaysia-taib/
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/361-bahan-maklumat / 6732-konsep-1malaysia-hapus-polarisasi-kaum.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm ARKIB : 24/05/2009
http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/koleksi-artikel/1-politic/387-peranan-semua-kaum-dalam-menyemarakkan-semangat-gagasan-1malaysia.html

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-Norlia bt Kiflie 

[diselenggarakan oleh Zuraina Marzuki]

ABSTRAK
Seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahasa telah dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Semestinya sebagai warga Malaysia yang merdeka kita harus bangga kerana memiliki bahasa kita sendiri sebagai identiti jati diri yang unggul sejajar dengan tuntutan Wawasan 2020. Kertas kerja ini dihasilkan melalui pembacaan buku-buku ilmiah, artikel, memetik pandangan para tokoh, rujukan perpustakaan dan sumber Internet. Hasil kajian ini juga menjelaskan dan membincangkan bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai bahasa kebangsaan malahan menjadi wadah warga Malaysia dari semua aspek dalam menjalankan ranah dan agenda negara dalam konteks Negara Bangsa. Oleh yang demikian, peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita maju seiring dengan negara lain khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa.
 


PENDAHULUAN

Status atau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Malah kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan ketara apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengajaran dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Seperti kata Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika membentangkan kertas kerja ‘Masalah Bahasa Atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu’, di DBP di Kuala Lumpur. “Kita tidak mahu negara ini menjadi negara maju dalam tahun 2020 tetapi bangsa Melayu hilang martabat dan kuasa sebagai bangsa yang cemerlang dan maju disebabkan bahasanya tidak dijadikan alat utama dalam proses itu. Ini kerana penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan tidak dianggap sebagai agenda penting dalam perancangan bahasa Melayu di negara ini,’’ Pada beliau, jika dilihat dari segi fungsinya bahasa Melayu sudah maju sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi di rantau ini yang dapat merentas sempadan geografi dan etnik bahasa. Namun beliau tidak mahu bahasa yang sudah maju itu dimusnahkan oleh persepsi, sikap dan kejahilan rakyat Malaysia terhadap keupayaan bahasa tersebut untuk mencapai kemajuan negara dalam era globalisasi ini. Ketika membentang kertas kerja ‘Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya’, Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan : “Secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa Pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hari’’ Situasi itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Titik tolak daripada pandangan dua tokoh bahasa di atas, kita perlu mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi agenda penting dalam membentuk dan membina negara bangsa. Seperti yang kita maklum, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri bangsa dan perpaduan negara. Oleh yang demikian, kita sewajarnya akur dan bangga kerana dengan adanya kekuatan bahasa Melayu maka terbentuklah kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai pandangan sarwa dalam kalangan warga Malaysia. Justeru, berbanggalah menjadi warga negara Malaysia karena memiliki bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu mampu mendukung budaya bangsa, berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Objektif kajian kertas kerja ini adalah untuk membincangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Ia merangkumi pelbagai peranan atau fungsi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang tanpa meminggirkan bahasa lain sebagai wadah alternatif untuk memajukan warga Malaysia di persada dunia. Skop kertas kerja ini memfokuskan konsep bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara bangsa dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Kertas kerja ini juga akan menjelaskan peranan bahasa dalam pelbagai agenda negara dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa. Kertas kerja ini akan memperlihatkan peranan bahasa sebagai asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat, lambang jati diri, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan, menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia, menampilkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan berbahasa, dan wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa.

PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA

Asas Pembinaan Negara Dan Kebudayaan Masyarakat Ranah pembinaan suatu bangsa Malaysia merupakan persoalan paling penting dan menjadi agenda utama negara dalam pelaksanaan sistem pentadbiran di negara ini. Usaha membina negara dan kebudayaan masyarakat juga merupakan strategi bagi memupuk jati diri dan perasaan muhibah serta persefahaman dalam kalangan rakyat. Ia juga lanjutan dari pelbagai masalah yang melanda rakyat di negara kita yang dikatakan kurangnya integrasi antara kaum dan tumbuhnya perasaan curiga dan wujudnya bibit-bibit perpecahan kaum. Oleh yang demikian, menjadi satu kepentingan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai alat perpaduan. Bahasa Melayu harus difahami oleh setiap kaum. Hal ini sejajar dengan penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus penduduknya. Justeru, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara. (Awang Sariyan, 2006) Pembentukan sebuah kebudayaan sepunya yang diasaskan pada nilai-nilai akhlak yang murni dan ketamadunan manusiawi yang sejagat adalah keperluan supaya selaras dengan tujuan membina sebuah negara bangsa yang beradab dan maju. Kemajmukan rakyat di Malaysia menjadikan pembentukan kebudayaan kebangsaan ini satu persoalan yang rumit. Persoalan rumit atau tidak, pembentukan dan pengembangan falsafah sepunya, sebuah kebudayaan sepunya yang kita namakan kebudayaan kebangsaan yang bercirikan Malaysia dan berdiri atas prinsip-prinsip budi, akhlak dan etika hendaklah dilakukan secepat mungkin serta dengan perancangan yang tersusun (Ahmat Adam, 1997). Justeru, berbanggalah karena tidak semua bangsa di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan yang dipakai secara luas dan dijunjung tinggi. Adanya bahasa kebangsaan yang dapat menyatukan perbagai suku bangsa yang berbeza merupakan suatu kebanggaan bagi bangsa Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bangsa Malaysia sanggup mengatasi perbezaan yang ada. Selain itu, kepercayaan diri yang kuat dapat dibangunkan dan identiti sebuah bangsa boleh diwujudkan melalui bahasanya. Bahasa Sebagai Lambang Jati Diri Negara Bangsa Malaysia Bahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu negara Malaysia. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya negara Jepun dengan bahasa Jepunnya, negara Jerman dengan bahasa Jermannya dan negara Perancis dengan bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Sekali gus, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah wahana utama dan medium satu-satunya yang perlu digunakan oleh warga Malaysia untuk menerus dan mengekalkan peradaban nasional dalam pelbagai bidang, menyampai dan menyebarkan peradaban nasional kepada generasi mendatang seperti yang diamalkan oleh mereka semenjak turun-temurun. Dalam hal ini, bahasa Melayu memang berkeupayaan dalam memajukan warganya sekali gus negara Malaysia berteraskan kapasitinya sebagai bahasa rasmi yang merangkumi fungsi selaku bahasa ilmu. Selain itu keupayaan bahasa Melayu yang terpenting ialah ia memiliki modal linguistik yang cukup agam, selain mampu berkembang ke tahap status sebagai bahasa moden. Jelas sekali bahawa peranan bahasa Melayu dalam mencorakkan jati diri warga Malaysia begitu besar cabarannya. Justeru, aspirasi dan misi nasional dalam membentuk negara bangsa Malaysia yakni menyatupadukan warganya dan membentuk jati diri sepunya dalam kalangan warganya tidak akan tercapai jika warganya tidak menampilkan semangat waja untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara kita. Tuntasnya, negara bangsa dan jati diri boleh dibentuk melalui pelbagai cara, dan antaranya ialah bahasa, khususnya melalui promosi bahasa kebangsaan. Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Rakyat Negara Malaysia Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. Peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan ini tidak harus sekadar bersifat simbolis dalam pentadbiran tetapi seharusnya berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam segala aspek dan peringkat kehidupan sosial dan kehidupan berbangsa di negara ini (Rustam Sani, 1993). Tuntasnya, bahasa Melayu menjadi titik penentu untuk berkongsi identiti nasional yang tersendiri. Kesediaan dan penerimaan warga Malaysia untuk menggunakan bahasa kebangsaan ini juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan wadah membentuk perpaduan antara kaum yang lebih utuh. Bahasa Sebagai Pengantar Ilmu Pengetahuan Dan Budaya Ilmu Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1). Abdullah Hassan (1987: 25) dalam “Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia” beliau menyatakan: “selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah- sekolah secara berperingkat-peringkat” Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997). Oleh itu, penubuhan sekolah wawasan atau apa sahaja penubuhan sekolah yang dapat menyatukan tiga kaum utama ini adalah menjadi isu penting dalam pendidikan yang dapat mempercepatkan proses pembinaan negara bangsa Malaysia jika masalah perpaduan dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Dalam usaha memperkasakan Bahasa Kebangsaan, peranan guru amat mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat Malaysia. Menjadi Bahasa Yang Cemerlang Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang “dipinjam” semata-mata untuk menunjukkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh hal demikian, penduduk di negara Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila menggunakan bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa. Dalam konteks negara bangsa, keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (Weltanschauung) politik yang sama. Manakala institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara-bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan dalam bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus globalisasi itu sendiri. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini. Bahasa Menampakkan Penggunaannya Dalam Pelbagai Perisian Dan Kesantunan Berbahasa Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan penggunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunannya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan. Bahasa yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu rasa terpinggir dalam perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat. Perkembangan kurikulum di Malaysia ke arah melahirkan warganegara global, selaras dengan perkembangan jaringan informasi. Sementara, dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan, kata silaan, ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan “pertukangan yang bermutu” boleh mencapai tahap “seni” , “budi” yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni. Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam ‘senjata moden’ perlu dibuat dan dicipta. Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai bahasa Melayu dan senjata bahasa-bahasa lain dalam menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini. Wahana Politik Dalam Menentukan Kualiti Penggunaan Bahasa Negara Bangsanya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri daripada ahli politik, ahli korporat, golongan profesional, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ahli masyarakat. Kehadiran kumpulan ini dapat mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbagai bidang. Contohnya, jika ahli politik dan ahli profesional mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui bahasa Melayu, bahasa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam arenanya. Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Sehingga kini, Bahasa Melayu sudah diguna pakai di dalam pelbagai sektor awam dan swasta. Sekian banyak wang, usaha dan tenaga pemikiran dicurah dan digemblengkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang merdeka ini. Malanglah sekiranya setelah hampir setengah abad kita membina cita-cita memartabatkan bahasa sendiri, kini kita mulai merungkai kembali binaan ini. Justeru, sesebuah bangsa harus dimajukan dengan meningkatkan tahap pemikiran bangsa tersebut. Sesebuah bangsa itu berfikir menerusi bahasa ibundanya kerana bahasa adalah saluran atau wahana pemikiran. Sesebuah bangsa berbicara dan menanggapi sesuatu pemikiran dengan bahasa mereka sendiri. Oleh yang demikian, untuk memajukan sesebuah bangsa, ia mesti dilakukan menerusi bahasa bangsa tersebut. Maknanya, memajukan bangsa Melayu mesti dilakukan dengan membangunkan pemikiran Melayu menerusi bahasa Melayu. Dengan ini, bahasa Melayu perlu terus diperkaya. Ia mesti terus diguna pakai di segenap sektor ekonomi dan sistem pentadbiran tanpa ada rasa prejudis dalam kalangan para elit, intelektual dan pemimpin terhadap penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah dimartabatkan penggunaannya dalam tamadun Melayu yang kemudiannya telah memajukan pemikiran bangsa Melayu dari kelesuan masyarakat feudal yang tahunya menyerah tanpa soal. Natijahnya, bahasa Melayu menjadi bahasa yang dinamik dan dapat diterima oleh warga Malaysia masa kini. Bangsa Jepun sendiri dimajukan dengan mengembalikan bangsanya kepada akar budaya bangsa tersebut. Oleh yang demikian, kita berpandangan bahawa tidak mungkin sesebuah bangsa dapat dimajukan dengan meminjam bahasa yang bukan bahasa ibunda bangsa tersebut. Kerana mereka tidak berfikir menerusi bahasa bangsa lain. Wadah politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa memerlukan pemimpin yang benar-benar menegakkan bahasa kerana agenda politik dan bahasa itu adalah sinonim adanya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama. Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kita sebagai warga Malaysia perlu optimis bahawa sekiranya usaha yang kuat dan seluruh tenaga digembleng maka tidak mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia. Masyarakat luar akan berlumba-lumba untuk belajar bahasa Melayu. Pada waktu itu, tidakkah kita berasa bangga dengan bahasa kita? Ini kerana bahasa Melayu kaya dengan nilai sosio budaya yang secocok dengan budaya rakyat Malaysia. Justeru, generasi muda hari ini perlu berperanan dalam mempertahankan bahasa Melayu. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Untuk menggalas tanggungjawab seberat ini, semua pihak perlu bekerjasama dengan dukungan kuat daripada para pemimpin negara. PENUTUP Berdasarkan keterangan di atas, jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira 53 tahun yang lalu. Ini kerana peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuwan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Sebagai rumusannya, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi atau jijik hingga sanggup menganaktirikan bahasa sendiri. Ini telah terbukti yang mana Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Jelas sekali bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. BIBLOGRAFI Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abu Hassan Othman. (1997). “Tranformasi Masyarakat dalam Konteks Pembinaan Negara bangsa Malaysia”. Dalam M. Yaakob Johari. (ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah). Ahmat Adam. (1997). “Budaya Popular dan Sepunya Dalam Konteks Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan”. Dalam M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah). Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Faizal Othman. (1993). “Pendekatan Bina Bangsa dalam Pengukuhan Tenaga Manusia bagi Wawasan 2020”. Dalam Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN. Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, http://www.moe.gov Kerajaan Malaysia. (1999). Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional Malaysia Berhad Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Persoalan & Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd. Rustam A. Sani. (1993). Melayu Baru dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Disributors Sdn.Bhd. Sumber Internet : http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/11/peranan- bahasa-malaysia-sebagai-bahasa.html v.my/tayang.php?laman=lihat_ info&info=pengumuman&id=292&bhs=my. Diakses pada 30 Januari 2010 (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu#Sejarah_Bahasa_Melayu). Diakses

Monday, 12 November 2012






MARI BERPAANTUN

Kalau Tuan pergi ke kedai, Belikan saya buah keranji; Kalau tuan bijak pandai Apa binatang keris di kaki?

Ada sebiji roda pedati, Bentuknya bulat daripada besi; Selalu diikat sekuat hati Dilempar hidup dipegang mati?

Buah budi bedara mengkal, Masak sebiji di tepi pantai; Hilang budi bicara akal, Buah apa tidak bertangkai?

Burung nuri burung dara, Terbang ke sisi taman kayangan; Cubalah teka wahai saudara, Semakin diisi makin ringan?

Bunga orkid indah warnanya, Penyeri taman perindah hutan; Ramai orang datang bertanya Tapak siapa hidup di lautan?